[KRISIS LAHAD DATU] 2 Wira Negara Naik Pangkat
Saturday, 2 March 20130 comments
Dua anggota polis komando VAT 69 yang terkorban dalam insiden tembak menembak dengan kumpulan penceroboh bersenjata dari Selatan Filipina dinaikkan pangkat, demikian diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dinaikkan pangkat kepada Asisten Superitendan Polis (ASP), dan Koperal Sabarudin Daud, 46, kepada Sarjan.
"Saya juga telah berbincang dengan (Timbalan Ketua Polis Negara) Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa sebagai pertimbangan istimewa kedua-dua perwira kita akan dinaikkan pangkat," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota itu di pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang dekat sini Sabtu.
Najib berkata kerajaan dan pihak polis juga akan mempertimbangkan pemberian-pemberian yang lain, dan ia akan dimaklumkan kepada anggota keluarga Allahyarham Zulkifli dan Sabarudin, selepas proses urusan pengebumian.
"Kita tidak akan lupa jasa, budi serta pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh kedua-dua perwira negara kita," katanya.
Sementara itu, Khalid berharap kenaikkan pangkat dua anggota berkenaan dapat melegakan dan meringankan beban anggota keluarga.
"Bagi pihak Polis Diraja Malaysia, kami berasa bangga dan terharu dengan pengorbanan mereka," katanya.
Menyentuh mengenai keadaan di Lahad Datu, Khalid berkata maklumat berhubung situasi terkini hanya boleh dilakukan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
"Perkembangan barkaitan isu di Lahad Datu tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya," katanya yang turut menyampaian ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua wira negara itu.
-- BERNAMA
GAMBAR PENUH MAJLIS PENGHORMATAN TERAKHIR >> KLIK SINI
Labels:
Isu Hangat,
Lahad Datu
Post a Comment
Penafian - Budak Conan tidak akan bertanggungjawab atas segala komen2 pelawat. Setiap komen adalah dari peribadi individu terbabit dan tak ada kena mengena dengan Budak Conan. Walaubagaimanapun sebarang komen yang mendapat bahtahan dari pelawat lain, Budak Conan akan pertimbangkan delete komen terbabit demi menjaga keharmonian pelawat secara keseluruhannya terutama komen lucah & iklan.