Selamat Datang di Budak Conan

Terputus Bekalan Air, Penduduk Warga Kota Mengeluh Seksa

Thursday 3 January 20130 comments



KUALA LUMPUR -- "Seksa." Itu ungkapan pertama sebaik isu ketiadaan bekalan air dikemuka kepada penduduk beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Gombak yang terputus bekalan sejak seminggu lalu.

Rata-rata yang terlibat dengan krisis itu mengeluh, bukan sahaja kerana sukar menjalani kehidupan seharian tetapi bagi sesetengah peniaga pula mereka berdepan dengan kerugian.

Pemilik kedai Dobi Nanowash di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini memberitahu Bernama perniagaannya terjejas apabila beliau tidak dapat menjalankan khidmat membasuh pakaian pelanggan seperti biasa.

"Sudah empat hari kawasan ini ketiadaan air. Urusan cuci mencuci terpaksa dihentikan dan bagi mengurangkan kos kerugian, saya cuba juga menjalankan perniagaan seperti biasa namun hanya menawarkan perkhidmatan menggosok dan melipat pakaian," katanya yang enggan dikenali.

Kesukaran itu lebih dirasai pengusaha Taska Dsayang di Wangsa Melawati, Rozaimah Ramli, yang terpaksa menguruskan 35 anak asuhan berusia antara dua bulan dan 7 tahun tanpa bekalan air.

"Sangat sukar...untuk menguruskan makan minum kanak-kanak, dan juga terutama apabila kanak-kanak membuang air kecil dan besar, mereka harus dibersihkan dengan baik bagi mengelakkan jangkitan kuman pada kulit," katanya.

Beliau berkata meskipun ketiadaan air, taska berkenaan terpaksa beroperasi agar tidak menjejaskan ibu bapa yang bekerja.

"Sejak seminggu lalu, saya terpaksa menadah dan mengangkut air daripada rumah saya untuk dibawa ke taska.

"Namun lebih menyukarkan apabila kawasan perumahan saya di Taman Pertama yang terletak tidak jauh dari taska juga mengalami masalah yang sama dengan airnya yang sekejap ada dan sekejap tiada," katanya.

Seorang jururawat Klinik Doktor Azizah di Taman Dagang, Ampang, Nor Aniza Abu Bakar, berkata klinik itu beroperasi seperti biasa namun banyak urusan tergendala antaranya ujian air kencing terpaksa dihentikan sementara.

"Ia menyukarkan bukan sahaja kepada pengurusan klinik tetapi juga pesakit yang perlu datang mendapatkan rawatan sewajarnya," katanya.

Manakala bagi ibu kepada dua anak, Asyilawati Ali, 35, dari Apartment Pandan Utama, Ampang, pula berkata hari pertama persekolahan dirasakan amat sukar apabila beliau terpaksa menguruskan anaknya dalam keadaan ketiadaan bekalan air.

"Kami terpaksa berdikit-dikit menggunakan air yang disimpan dan keluar makan di restoran kerana air yang ada disimpan hanya untuk hal penting seperti membersihkan diri," katanya.

Sebanyak 107,760 akaun pengguna yang melibatkan setengah juta penduduk, terjejas bekalan air susulan kegagalan sistem pam di rumah pam Wangsa Maju sejak 29 Dis lalu dan kerosakan pada papan suis utama Pudu Hulu, semalam.

Bagaimanapun Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menjangkakan bekalan air yang terjejas membabitkan 90 kawasan sekitar ibu negara itu dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

SUMBER

Share this article :

Post a Comment

Penafian - Budak Conan tidak akan bertanggungjawab atas segala komen2 pelawat. Setiap komen adalah dari peribadi individu terbabit dan tak ada kena mengena dengan Budak Conan. Walaubagaimanapun sebarang komen yang mendapat bahtahan dari pelawat lain, Budak Conan akan pertimbangkan delete komen terbabit demi menjaga keharmonian pelawat secara keseluruhannya terutama komen lucah & iklan.

 
Support : Cara Gampang | Creating Website | Johny Template | Mas Templatea
Copyright © 2013. Budak Conan - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Modify by CaraGampang.Com
Proudly powered by Blogger