Selamat Datang di Budak Conan

LHDN Kutip Cukai RM124.69 Bilion Sehingga Semalam, Lepasi Sasaran

Sunday 30 December 20120 comments



IPOH -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip cukai sebanyak RM124.69 bilion sehingga semalam, dan jumlah itu melepasi unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kewangan untuk tahun ini.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata prestasi cemerlang agensi itu sekali gus melepasi unjuran RM123.82 bilion, selepas semakan semula unjuran asal sebanyak RM109.09 bilion.

"LHDN berjaya melepasi sasaran kerajaan. Jumlah hasil kutipan cukai ini meningkat sebanyak 13.76 peratus berbanding RM109.61 bilion pada 2011. Kutipan bagi tahun 2011 itu telah meningkat sebanyak 26.72 peratus berbanding kutipan berjumlah RM86.49 bilion yang dipungut pada 2010," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Beliau berkata kejayaan cemerlang LHDN itu didorong beberapa strategi yang digariskan, termasuk penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk 10 aktiviti cukai, yang meliputi Kutipan Hasil, Akaun Belum Terima, kecekapan Kos Pungutan, Audit Luar, Bayaran Balik, Siasatan, memperluaskan asas cukai, perkhidmatan elektronik LHDN, latihan dan kompetensi pegawai serta kakitangan agensi itu.

Selain itu di peringkat LHDN, Jawatankuasa Pemantauan KPI akan membuat pemantauan setiap dua minggu bagi memastikan sasaran yang ditetapkan tercapai, katanya.

Sementara itu, dalam aspek penguatkuasaan, agensi itu meluaskan tindakan audit dengan menumpukan kepada kes yang berimpak tinggi, dan berjaya menyelesaikan 1.89 juta kes, yang membabitkan RM2.94 bilion, selain penyelesaian kes siasatan berprofil tinggi melibatkan sejumlah RM653 juta.

"Peningkatan sebanyak 636,204 kes atau 50.42 peratus berbanding prestasi tahun lepas sekali gus meningkatkan hasil sebanyak RM207 juta," katanya.

Ahmad Husni yang juga anggota Parlimen Tambun berkata aktiviti pungutan turut dipantau yang melibatkan bayaran anggaran cukai syarikat, individu serta potongan cukai bulanan, selain memantau ansuran bagi kes tunggakan hasil.

Beliau berkata kecekapan sistem perkhidmatan kepada pembayar cukai turut dipertingkatkan dengan penyediaan pelbagai perkhidmatan elektronik seperti e-Filing, e-Daftar dan e-Bayaran selain proses pembayaran balik cukai juga dipercepat dan dipermudah melalui pertukaran dana elektronik (EFT).

Perkhidmatan elektronik memberi kesan peningkatan kecekapan perkhidmatan kepada pembayar cukai dan turut meningkatkan pematuhan pembayar cukai terhadap peraturan serta undang-undang percukaian, katanya.

"Sehingga 30 Nov lepas, LHDN telah memproses 98.46 peratus bayaran balik daripada kes yang layak dibayar balik. Bilangan bank yang menjadi ejen kutipan LHDN juga kita tingkatkan. Ketika ini 11 bank dan Pos Malaysia terlibat sebagai ejen kutipan," katanya.

Pada Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kejayaan LHDN meningkatkan kutipan hasil pada 2011 hampir 27 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2010, merupakan satu pencapaian luar biasa.

Najib berkata kejayaan badan itu mengutip hasil RM109.7 bilion bagi tahun 2011 bukan sahaja membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak perkhidmatan kepada rakyat malah dapat memberi rangsangan kepada sektor swasta untuk meningkatkan pelaburan mereka.

-- BERNAMA
Share this article :

Post a Comment

Penafian - Budak Conan tidak akan bertanggungjawab atas segala komen2 pelawat. Setiap komen adalah dari peribadi individu terbabit dan tak ada kena mengena dengan Budak Conan. Walaubagaimanapun sebarang komen yang mendapat bahtahan dari pelawat lain, Budak Conan akan pertimbangkan delete komen terbabit demi menjaga keharmonian pelawat secara keseluruhannya terutama komen lucah & iklan.

 
Support : Cara Gampang | Creating Website | Johny Template | Mas Templatea
Copyright © 2013. Budak Conan - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Modify by CaraGampang.Com
Proudly powered by Blogger