PRU13 Awal Februari - Najib Razak
Saturday, 22 December 20120 comments
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) telah mengenal pasti senarai nama calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tetapi belum dimuktamadkan lagi kerana ia merupakan proses berterusan sehingga menjelang pilihan raya.
Beliau yang juga Pengerusi BN menegaskan, senarai tersebut masih boleh berubah jika pihaknya menerima maklumat terkini mengenai seseorang calon.
“Ia (pemilihan calon) adalah proses berterusan. Sehingga sampai saat kita umumkan, proses ini boleh berubah. Kalau kita ada input terkini, nama itu boleh dipinda," katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India bagi memperingati 20 tahun hubungan dialog antara ASEAN dan India, di sini hari ini.
Ditanya cadangan supaya kerajaan mewajibkan parti politik mengemukakan senarai nama calon PRU-13 untuk proses tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Najib berkata, semua calon BN melalui proses tapisan SPRM.
“Kita rujuk nama calon kepada SPRM dan jika fail mereka boleh dipertikaikan, mereka tidak mungkin lulus tapisan SPRM. Ini sedang kita lakukan pada masa ini kerana sebahagian nama-nama calon telah diketahui oleh SPRM," ujarnya.
Sehubungan itu, tegas Perdana Menteri, SPRM akan menapis nama-nama tersebut terlebih dahulu kerana pendirian BN ialah setiap calon pilihan raya mesti melalui tapisan SPRM.
Cadangan itu disuarakan oleh Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Datuk Johan Jaaffar. Ia membabitkan semua parti politik dan individu yang akan bertanding sebagai calon Bebas termasuk Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal dicalonkan semula atau yang pertama kali bertanding.
Dalam pada itu, Najib tidak menolak kemungkinan PRU-13 akan diadakan sebelum sambutan Tahun Baru Cina pada pertengahan Februari tahun hadapan.
Tahun Baru Cina akan disambut pada 10 dan 11 Februari depan, manakala tempoh penggal Parlimen sekarang akan berakhir pada 28 April tahun hadapan.
“Soalan lain? Percubaan yang baik...percubaan yang baik," katanya merujuk kepada soalan wartawan mengenai tarikh pilihan raya umum itu yang kini masih menjadi teka-teki.
- durhakaderhkala
Post a Comment
Penafian - Budak Conan tidak akan bertanggungjawab atas segala komen2 pelawat. Setiap komen adalah dari peribadi individu terbabit dan tak ada kena mengena dengan Budak Conan. Walaubagaimanapun sebarang komen yang mendapat bahtahan dari pelawat lain, Budak Conan akan pertimbangkan delete komen terbabit demi menjaga keharmonian pelawat secara keseluruhannya terutama komen lucah & iklan.